Saturday, October 31, 2009

AKRAM vs AKRAB : APA SEBENARNYA?

Salam sejahtera dan salam hormat,

Apabila artikel berhubung AKRAM vs AKRAB diterbitkan pada 28 Oktober lalu, saya menerima emel, sms dan panggilan telefon daripada rakan-rakan mengemukakn persoalan-persoalan yang membuntukan saya

- atas dasar apa kau mengkritik pengurusan psikologi?
- atas kapastiti apa kau bercakap?
- apakah yang kau cakapkan mewakili pandangan semua pegawai psikologi?
- mengapa kau begitu berani mengkritik secara terbuka pengurusan psikologi?

Persoalan-persoalan yang ditanya membuatkan saya memikirkan: APA SEBENARNYA?

Seterusnya membuat sedikit penelitian, mengapa mereka menanyakan persoalan tersebut kepada saya. Saya menemui kesilapan saya dalam membuat andaian telah menimbulkan isu dan persoalan tersebut.

Umumnya, apabila mendengar akan cerita pertukaran AKRAM kepada AKRAB, saya mengandaikan ia masih lagi dalam perbincangan peringkat pegawai (gred 48 dan ke bawah), dengan itu sesuai bagi saya untuk turut memberikan pandangan, dan dalam memberikan pandangan pula agar ia lebih meyakinkan maka perbandingan yang ekstrim dan bombastik diberi. Tambahan pula semasa AKRAM diputuskan, ia melibatkan perbincangan semua pegawai psikologi, jadi apabila idea perubahan ini dibawa saya mengharapkan pegawai psikologi/psikologis/psychoff (sepertimana terminologi yang saya gunakan) mempertahankannya. (Kini lebih ramai pegawai psikologi baru daripada pegawai lama)

Akhirnya saya dikhabarkan bahawa AKRAB telah dalam peringkat perlaksanaan dan telah digezetkan menggantikan AKRAM, bukan lagi diperingkat perbincangan pegawai. Ini menjawap kebuntuan saya mengapa saya dikatakan mengkritik pihak pengurusan. Secara langsung apabila artikel itu diedarkan dalam keadaan AKRAB telah digezetkan oleh pihak pengurusan maka ia jelas memperlihatkan kritikan terus kepada pihak pengurusan.

Sesungguhnya, adalah amat tidak wajar dan biadap bagi saya untuk mengkritik pihak pengurusan walau dalam apa jua keadaan. Tambahan pula ia diluar kapasiti saya. Namun kesilapan saya mengandaikan ia masih diperingkat perbincangan pegawai telah menimbulkan kesulitan ini.

Atas prinsip 'berani tangan memukul, sanggup pula bahu memikul', saya akui kesilapan saya, juga dengan penuh rasa rendah diri dan insaf hati, saya mohon maaf ke atas segala kesulitan atau salah faham yang timbul.

- jika benar kau tak bermaksud mengkritik pihak pengurusan mengapa kau kaitkan pihak pengurusan atasan?

Saya turut meng CC kan artikel tersebut kepada dua orang bekas pengarah bahagian memandangkan nama mereka di sebut dalam artikel tersebut. Adalah juga tidak wajar jika mereka tidak mengetahui isu cerita sedangkan nama mereka disebut.

Pengurusan bahagian juga turut menerima artikel tersebut. Ini kerana pada pandangan saya sekiranya isu ini masih diperingkat cadangan, maka apabila pihak pengurusan membuat pertimbangan untuk keputusannya maka sekurang-kurangnya mereka tahu saya pernah memberikan pandangan. Saya juga beranggapan, pihak pengurusan akan membacanya sebagaimana hakim mendengar hujah daripada semua pihak sebelum membuat keputusan. itulah maksud saya.

Apabila mengetahui ARRAB sebenarnya telah diperingkat perlaksanaan, maka artikel itu sememangnya tidak lagi wajar. Pastilah juga sebelum membuat keputusan pihak pengurusan telah mengambilkira semua faktor. Jadi tidak ada sebab lagi untuk saya memberikan pandangan. Tambahan pula pandangan yang jelas kelihatan menolak idea pertukaran tersebut.

Saya juga amat yakin, pihak pengurusan bahagian tidak akan terkesan dengan artikel pramatang seperti itu. Fokus dan tumpuan saya hanyalah kepada pegawai psikologi/psikologis/psychoff (lantikan skim perkhidmatan psikologi dan penolong) sepertimana yang saya nyatakan dalam artikel itu. Dengan sebab itu saya menulis atas kapasiti Presiden.

Walau bagaimanapun, saya akui akan kesilapan saya dalam membuat atau memberi pandangan tanpa mendapat maklumat lengkap berhubung isu ini. Jadi, dengan segala insaf diri saya memohon maaf jika artikel tersebut telah menjejaskan pihak pengurusan.

Terima kasih juga kepada rakan-rakan yang telah memperbetulkan saya.

Sekian wassalam semoga kita sama dirahmati.

Abdul Jalil Hassan
Presiden PSIPA

Thursday, October 29, 2009

Tetamu Allah

Assalamualaikum dan salam sejahtera..

Bulan haji telah tiba lagi
menunaikan ibadah
panggilan baitullah
tanah suci Mekah
al Mekah mukarramah

Kini mereka yang mendaftarkan diri untuk menjadi tetamu Allah di tanah suci Mekah telah mula berangkat.. pastinya semua mengimpikan agar dikurniakan Allah s.w.t akan haji yang mabrur.. martabat haji yang mana semua dosa diampunkan..

Sehubungan itu, juga ada di kalangan sahabat kita psychoff yang berpeluang untuk menyahut seruan menjadi tetamu Allah s.w.t pada tahun ini. Sama-sama kita doakan agar mereka (psychoff) serta tetamu-tetamu lain agar dikurniakan haji yang mabrur, dikurniakan keberkatan dunia dan akhirat, apabila pulang nanti menjadi contoh teladan kepada kita yang belum mampu menunaikannya sama ada atas faktor kewangan mahupun sebab-sebab lain.

Kita doakan juga kepada mereka agar selamat berangkat pergi dan selamat juga sampai kembali ke tanah air ke pangkuan keluarga dan sanak saudara termasuklah kita semua.

Semoga mereka yang dikurniakan peluang ini juga dapat kiranya menyampaikan salam kita kepada nabi junjungan Muhammad s.a.w. .. berbanyaklah kita untuk berselawat dan salam ke atas baginda junjungan.

Semoga Allah merahmati dan memberkati kita semua. amin

Wednesday, October 28, 2009

Apabila Presiden Menulis: AKRAM vs AKRAB

Salam sejahtera dan salam hormat buat semua pengunjung blog ini..

Umumnya saya berterima kasih kepada pengunjung kerana inilah kali pertama sejak blog ini dilancarkan ianya telah menerima hit lebih daripada 20 dalam masa satu hari.. blog lesu ini akhirnya menerima kunjungan yang memberangsang.. blog yang jarang-jarang dikunjungi ini akhirnya menerima ramai tetamu..

Semuanya gara-gara tulisan saya berhubung AKRAM vs AKRAB! Sememangnya saya turut menerima emel dan panggilan telefon daripada rakan untuk 'menghilangkan' tulisan tersebut demi menjaga keharmonian semua. Tetapi memandangkan matlamat dan tujuan penulisan tersebut bukanlah untuk menghina sesiapa maka saya tangguhkan dulu kehilangan itu.. juga atas prinsip tanggungjawab terhadap tulisan tersebut..

Saya juga menjangkakan akan timbul pelbagai andaian, telahan dan anggapan sama ada positif atau negatif terhadap tulisan tersebut.. pastinya juga saya menjangkakan pelbagai gelaran dan label turut dilempar termasuk pencemaran kredilibiliti dan lain-lain..

Ramai juga mungkin bimbang bilamana tulisan ini disiarkan diblog ia bakal menjelajah oleh ribuan juta manusia.. sebagai pengendali atau administrator blog, saya turut mengambil kira pertimbangan itu.. dengan itu saya seawalnya telah menyekat pengaruh blog ini daripada diakses secara terus oleh pengunjung internet.. dengan kata lain ia hanya dapat diakses melalui alamat blog yang disertakan dalam emel. Ini secara langsung mengecilkan litupan penyebaran blog ini.. namun isu ini sebenarnya membuktikan kuasa internet yang sepatutnya kita sama-sama gunapakai dalam kerja harian kita..

Amnya penulisan blog juga menimbulkan pelbagai pandangan, andaian juga salah faham akan maksud yang cuba disampaikan.. umpama kenyataan TG Nik Aziz dalam PAS..tak semua mampu memahami dan tak kurang juga menyalah tanggap ..bukan niat saya menyamakan saya dengan TGNA tapi situasinya hampir sama.. niat TGNA itu mungkin sama dengan niat saya... menyatakan sesuatu dalam ruang lingkup yang mana kita mempunyai pengetahuan tentangnya..

Namun kelebihan ketara dalam penulisan blog adalah semua orang boleh memberi dan mempertahankan pandangan masing-masing.. apa yang saya utarakan mungkin tidak betul tetapi sesiapa sahaja boleh memperbetul atau memperjelaskannya sepaya menjadi lebih terang dan betul.. bersemuka dalam mengemukan pandangan boleh! akan tetapi berapa ramai pula yang sanggup menahan telinga untuk mendengar? alternatif blog ini cukup cantik bagi saya! sesiapa yang merasakan dia perlu memperbetulkan apa yang ditulis boleh menghujahkan kembali..

Atas prinsip itu, saya sanggup menahan diri untuk dilabel, dikutuk, dicerca, dimarah, di Inggeris atau di Belandakan, dimakhluk perosakkan dan sebagainya, permintaan atau arahan rakan tadi untuk 'menghapuskan' artikel ini terpaksa saya abaikan.. maafkan saya!!

Namun satu perkara yang dapat saya pelajari dari isu ini, psychoff kurang responsif, tidak gemar berhujah dan mengemukakan pandangan! Media alternatif ini memberikan peluang untuk berhujah tanpa perlu bersemuka atau mengawal nada suara serta emosi, namun sukar juga untuk kita menyampaikannya.. tidak ramai/tidak ada juga yang respon melalui emel .. mungkin memalui emel memaparkan identiti, melalui blog ini boleh digunakan anonymous.. (saya tujukan tepat kepada psychoff sahaja)..

Apapun, saya tidak berhajat untuk terus mengeruhkan suasana.. cukuplah dengan jolokan singkat ini... mohon ampun dan maaf kiranya ia mengusik hati dan emosi sesiapa.. seikhlasnya saya menujukan artikel ini kepada psychoff, tapi sukar untuk membezakan psychoff atau tidak bila ia turut dibaca oleh semua..

Saya kekalkan juga artikel tersebut bagi membolehkan mereka yang membaca memahami situasi sebenar.. ampun dan maaf kiranya mengguris hati sesiapa.

Sekian wassalam

29 Oktober 2009
12.20 tengahari


Salam Sejahtera

Semoga semua dilimpati kerahmati dari Allah s.w.t.

Izinkan saya untuk mencelah dan memberikan sedikit pandangan berhubung pertukaran nama Rakan Pembimbing Perkhidmatan Awam yang ditukarkan daripada AKRAM kepada AKRAB. Sebagai antara Pengasas juga founder kepada Rakan Pembimbing ini, rasa saya mempunyai asas untuk turut sama memberikan pandangan dalam isu pertukaran nama ini.

Jelasnya, pemilihan nama AKRAM itu bukan sewenangnya dibuat, ia hasil dari pecah kepala perbincangan, pertikaian lidah, pergelutan hati dan tangan, demi membuahkan hasil yang benar mantap dan terkehadapan. AKRAM bukan hanya dipilih suka-suki, sambil lewa atau ada-ada.. AKRAM mempunyai roh dan semangat tersendiri, unik dan berpijak atas jati diri yang utuh serta padu. AKRAM bukan hanya main-main untuk penuhkan jadual kerja mahupun untuk sekadar ada nama..

AKRAM dipilih atas dasar ketepatan makna dan roh yang ingin diterapkan, doktrin yang ingin ditanam, benih yang ingin disemai kepada dan ke atas mereka yang terpilih untuk menganggotainya. AKRAM itu dasarkan adalah mendekati ditambah elemen memuliakan. BUkankah itu tugas dan peranan Rakan Pembimbing.. mendekati setiap orang tanpa mengira warna kulit dan isi, menjadi sahabat juga rakan, mendekati, menjadi sahabat itu juga bukan kosong ..tetapi diisikan dengan kemuliaan.. mereka yang didekati itu dimuliakan, sama seperti konsep Rogers ..unconditional positive regard .. mereka yang didekati dan dimuliakan akan merasa, juga berasa diri dihargai, menaikkan esteem diri, meningkatkan jati diri.. serta keyakinan diri..

Ini kerana memuliakan orang lain bermakna membawa, mempengaruh dan membimbing individu yang didekati untuk kembali kepada fitrah.. fitrah adalah setiap perkara yang baik dan meninggalkan perkara yang buruk.. bukankah ini sebenarnya spirit/roh Rakan Pembimbing?.

AKRAB bermaksud menjadi karib, dekat, bersahabat baik. akan tetapi ia kekurangan roh atau elemen memuliakan.. sama seperti penjenayah, perompak, pencuri, perogol (contoh), mereka juga mempunyai rakan karib yang cukup akrab, rakan sepenjenayah ini cukup intim dan dekat, saling percaya, saling membantu, akan tetapi kerana tiadanya elemen mulia ..maka dia tidak dapat membimbing rakan sepenjenayahnya untuk kembali kepada fitrah..menjadi manusia baik, menjadi manusia insaf dan kembali ke pangkal jalan..

Jika dia seorang rakan pembimbing, dia hanya mampu untuk menjadi karib kepada indidivu lain, tatapi sukar untuk mempengaruhi mereka untuk back to basic.. andainya dia seorang kaki ponteng (rakan pembimbing ada di antaranya bermasalah), maka dipengaruhinya individu lain hasil dari pengetahuan ilmu psikologinya, ke manakah dia akan bawa kalau tidak menjadi kaki ponteng juga.. ini kerana dalam dirinya tidak dihidupkan roh memuliakan itu..

Jadi, pada hemat saya AKRAM itu ibarat rumah yang telah siap, jangan dek kerana ada segelintir manusia yang suka berburuk sangka, iri hati atau di kalangan psikologis sendiri yang jenis rendah jati diri, kita robohkannya.. bukankah psikologis itu, orangnya jika berbuat sesuatu mesti ditaakul sedalam mungkin,, jika berkata akan dihadamkan terlebih dahulu sebelum diperihalkan untuk orang lain.. bila berhujahkan sesuatu dicerna selumat mungkin sebelum dilontarkan kepada khalayak.. di sinilah letakkan kekuatan seorang psikologis.. bila dilakukan sesuatu berpencak di gelanggang minda, bertempur di medan diskusi, supaya dengan itu hasil yang dikeluarkan sama disepakati dan cukup segala justifikasi..

Supaya jika dijentik tak sakit, ditengking tak sirna, digulung lumat dak berbekas, kerana segala yang dibuat cukup sifat justifikasinya. Katalah apa orang nak kata .. kerana kita tahu apa yang kita lakkukan..itu jati diri psikologis.. psikologis bukanlah jenis yang bila kalah mengadu demam, bukan jenis banyak alasan, bukan bila ditegur melatah tak sudah.. harus kita pertahankan sesuatu yang dibancuh pekat dalam cawan muafakat..

Ada orang yang melawakkan AKRAM dengan ARKAM.. bunyinya hampir sama.. tapi bagi yang ada asas ARABIC tentu lebih faham .. sedikit perbezaan membawa makna perbezaan yang besar.. misalnya Qalbi dengan Kalbi.. antara hati dengan anjing itu jauh bezanya.. takutkah kita dengan usikan itu? padahal telah diperihal di atas betapa hebatkan AKRAM itu berbanding yang lain... atau kerana kita sendiri yang takut untuk mempertahan? Wallahualam..

Jadi harapnya jangan sewenangnya kita menukar nama AKRAM itu.. saya bukan anti perubahan kerana saya juga antara jaguh perubahan disaat BPPs hanya berjumlah 15 orang.. Y.Bhg. Dato' Ismail dan Dato' Azhar boleh menjadi saksinya.. daripada hanya kertas A4 (flyers, memo, phemplet, brosur) hingga adanya radio Rangkaian Kerja Jaya, daripada hnya ceramah dan syarahan kepada pentas teater berkarya... bermcam lagi ..semua berpaksi kepada menjana perubahan termasuk perubahan minda.. tetapi biarlah kita berubah daripada yang kurang baik kepada yang lebih baik, bukannya daripada yang baik kepada yang kurang baik..

AKRAB juga trademark yang telah digunapakai orang lain, sanggupkah kita jika nanti disaman hanya kerana nama?Kalah atau menang tetap jadi abu kalau tidak sekalipun jadi arang!!

Apapun, pisau, pedang, parang bukan di tangan saya, tak upaya saya menahan orang jika ingin memancung, hanya sekadar memberikan pandangan agar apabila yang dipancung telah pergi, kita yang tinggal tidak hidup dalam penyesalan. Tiada niat saya untuk meleceh atau menghina sesiapa, sekadar berkongsi rasa supaya sejarah tak lupa..

Sekadar sebuah perkongsian

Abdul Jalil Hassan
Presiden
Persatuan Pegawai Psikologi Perkhidmatan Awam (PSIPA)
28 Oktober 2009

Monday, October 26, 2009

Pendaftaran Keahlian

Salam sejahtera

Tahun 2009 telah menghampiri penghujungnya, November telah menggamit untuk menerima baton masa.. bermakna tempoh pendaftaran keahlian PSIPA juga telah makin mengecil... biarpun tempoh dibenarkan sehingga Disember namun melihat kepada respon yang diberikan ..ia agak kurang memberansangkan..

AJK juga telah lesu untuk terus mempromosikan agar semua psychoff mendaftar sebagai ahli. Mungkin ramai yang ragu atau keliru akan peranan dan kepentingan PSIPA ini kepada mereka. Atau mungkin juga ramai yang berpendapat ia hanya membazirkan RM mereka sahaja, tiada yang bagus untuk meletakkan diri dalam senarai ahli PSIPA.. itu mungkin andaian ramai daripada kita ..harapnya tidak!

Berakhirnya Disember ini, kita akan mula mengorak langkah untuk memberikan yang terbaik kepada psychoff yang telah mendaftar, beberapa kelebihan sebagai ahli akan kita perkenalkan. Untuk tidak merasa tersisih nanti mendaftarlah segera!

Beberapa bulan lalu ketika persidangan pegawai psikologi di Putrajaya, ratusan borang keahlian telah diedarkan..ramai juga yang telah memilih nombor bertuah masing-masing ..namun sehingga kini nombor bertuah tersebut masih gagal untuk didaftarkan.. kemungkinan kiranya ada psychoff lain yang berminat dengan nombor tersebut dan ingin mendaftar dengan yuran keahlian maka terbatallah tempahan tersebut.. walau bagaimanapun peluang masih dibuka sehingga 10 Disember untuk mendaftar nombor masing-masing. Selepas tarikh tersebut nombor tersebut terbuka kepada psychoff lain untuk merebutnya. Adilkan?

Terkini, kita belum lagi melaksanakan program-program yang relevan untuk ahli kecuali program yang dijalankan dan dilaksanakan oleh YM Raja Kamariah.. program sebegitu akan terus menyusul nanti .. namun kita (AJK PSIPA) terlibat dalam perancangan yang lebih besar.. kita terlibat secara langsung dengan perancangan pelan strategik Skim Perkhidmatan Psikologi dan penggubalan jawatan standard yang memberi keutamaan dan kelebihan kepada semua psychoff tanpa mengira mereka ahli atau tidak.. kita cuba untuk memikirkan yang terbaik kepada semua psychoff termasuk perjalanan kerjaya kita sehingga hari persaraan nanti..

Terima kasih kepada Bahagian Perkhidmatan (JPA) terutama Cik Norazizi kerana memberi peluang kepada PSIPA untuk terlibat secara langsung menjana idea dan memberikan buah fikir dalam menentukan masa depan psychoff.

Demi untuk kebaikan bersama, marilah kita sama-sama beramai-ramai mendaftar sebagai ahli PSIPA, supaya lebih banyak kebaikan dapat kita jana bersama.

Sekian, jangan bertangguh lagi, mendaftarlah segera.

Pre.