Wednesday, November 4, 2009

Luahan Hatiku

Moderator: saya menerima emel daripada tanpa nama menggunakan yahoo add. Walau siapa pun dia, inti luahan hatinya elok untuk kita hayati bersama.. selamat membaca


Ke hadapan rakan-rakan seperjuangan ku,

Assalamualaikum dan salam sejahtera.

Tahniah ku ucapkan kepada kita semua kerana telah berjaya untuk menyatukan kembali keluarga kita yang bertaburan di merata tempat walaupun masih ada lagi yang tercicir. Terima kasih diucapkan kepada Dato’ Dr. Mat Saat Baki yang telah bekerja keras untuk memperkenalkan dan seterusnya mempopularkan Perkhidmatan Psikologi kepada semua warga Perkhidmatan Awam serta rakyat jelata. Terima kasih juga diucapkan kepada individu-individu yang telah berhempas pulas dari wujudnya Perkhidmatan Psikologi untuk warga Perkhidmatan Awam sehinggalah ke hari ini. Tanpa individu-individu itu di manakah agaknya Perkhidmatan ini akan berada?

Mengimbau kembali ke saat bermulanya kewujudan Perkhidmatan Psikologi dalam Perkhidmatan Awam, kita harus merasa bangga kerana walaupun bingit telinga mendengar cercaan, sakit hati mendengar sindiran, individu-individu yang menyampaikan Perkhidmatan Psikologi tidak berputus asa. Senyuman sentiasa mengiring pertemuan, nada lembut melagukan pertuturan dan kesabaran nan sentiasa hadir apabila berkomunikasi dengan orang lain. Kalau tidak kerana sekumpulan individu yang walaupun baru dalam Perkhidmatan Psikologi dengan kerjasama ahli Psikologi yang berpengalaman, tidak akan wujud Perkhidmatan Psikologi se GAH sekarang. Lupa sudah kita kepada sumbangan sekumpulan individu yang menyediakan tapak, membentukkan modul-modul asal, melahirkan prosedur serta model-model tertentu untuk kecemerlangan Perkhidmatan Psikologi yang menjadi amalan semua ketika ini. Memang manusia mudah lupa…..

Sesunguhnya jodoh dan ajal di tangan Yang Maha Esa, walaupun perjalanan hidup seharian dan perubahan yang sentiasa berlaku adalah hasil tindakan manusia dengan izinNya. Perubahan yang disuntik dalam Perkhidmatan Psikologi amatlah dihargai dan tidak dinafikan perubahan tersebut menjadikan Perkhidmatan Psikologi lebih mantap dan dikenali ramai. Tapi janganlah bongkak dan mendongak ke langit kerana perubahan yang dibuat telah diterima ramai dan dalam banyak keadaan, disanjungi. Agaknya kerana kecemerlangan dan sanjungan inilah yang menyebabkan ramai mencemburui pegawai-pegawai Psikologi.

Ada yang dengan tiba-tiba menceburi bidang Psikologi untuk perkembangan kerjaya dan ada juga yang menggunakannya sebagai batu loncatan untuk kejayaan diri serta Perkhidmatan masing-masing. Tidak salah bagi pengamal Psikologi memberikan Perkhidmatan Psikologi kepada yang memerlukan tetapi janganlah sampai menidakkan hak mahupun sumbangan pegawai Psikologi sedia ada yang lebih berkelayakan dan lebih lama menyumbangkan Perkhidmatan Psikologi kepada semua. Ingatlah bahawa hidup manusia di dunia hanya sementara tetapi di akhirat selama-lamanya. Janganlah kita menggunakan peluang yang diberikan Maha Esa di dunia untuk menganiaya atau menjatuhkan manusia lain yang mungkin dilihat sebagai saingan. Sebaliknya, gunakanlah peluang ini untuk sama-sama menikmati rahmatNya secara adil dan saksama. Rezeki di mana-mana dan kita hanya perlu berusaha. Tak usahlah menggunakan sedikit kuasa yang telah dianugerahkan untuk menyekat rezeki dan perkembangan mereka yang berhak. Sesunguhnya setiap tindakan kita akan diadili di akhirat kelak, tidak lagi boleh diselindung.

Sumbangan setiap ahli serta pengamal Psikologi amat dihargai oleh banyak pihak terutama sekali apabila ianya diberikan kepada mereka yang memerlukan. Oleh itu, usahlah menidakkan sumbangan yang telah diberikan oleh sesiapa sahaja sama ada yang masih memberikan perkhidmatan mahupun yang sedang melanjutkan pelajaran atau bersara. Seharusnya sumbangan yang telah diberikan dihargai dengan penuh hormat kerana tanpa sumbangan mereka berkemungkinan besar Perkhidmatan Psikologi akan bertatih dan bukannya berlari seperti sekarang. Janganlah kerana pengaruh rakan taulan yang sentiasa memberi sokongan kepada kita, kita hanyut dalam kegemilangan dan lupa diri. Tidak dinafikan kita perlu membantu rakan yang mengalami permasalahan tetapi adakah kita perlu mengadai maruah serta kehormatan diri semata-mata kerana ingin membantu merealisasikan kehendak kawan? Fikir-fikirkanlah…

Coretanku ini bukanlah dengan niat untuk mencerca atau memalukan sesiapa. Coretanku ini sekadar untuk menyedarkan kita semua bahawa Perkhidmatan Psikologi adalah satu Perkhidmatan yang mulia kerana tugas utama ahli Psikologi adalah membantu mereka yang sedang menghadapi masalah. Oleh itu janganlah kerana ego serta rasa tinggi diri dengan kuasa yang ada, kita menggadai maruah dan kehormatan hanya kerana bisikan mereka yang dipanggil rakan taulan. Seharusnya sebagai ahli Psikologi kita menjadi lebih rasional, berupaya mengawal emosi dengan baik dan menunjukkan keperibadian Unggul serta sentiasa dihormati dan disanjungi. Jangan pula kita dicerca kerana kita hilang kawalan diri dan menjatuhkan maruah orang lain.

Akhirnya, aku menyusun sepuluh jari memohon maaf kepada mereka yang terasa dan tersinggung dengan coretanku ini. Aku hanyalah manusia biasa dan niatku hanyalah untuk menyedarkan kita semua yang mungkin lalai dan terlupa dengan misi kita di dunia ini sebagai Khalifah Allah. Wasalam.

Pegawai Psikologi.