Thursday, September 3, 2009

Ucapan Presiden di Persidangan Pegawai Psikologi Perkhidmatan Awam 2009

Bismillahhirrahmanirrahim..

Alhamdulillah ….Selawat dan salam ke atas junjungan besar kekasih Allah, Nabi Muhammad s.a.w. Dipanjatkan penuh kesyukuran atas limpah kurnia dan rahmatNya ke atas kita..

Assalamualikum w.b.t. dan salam sejahtera..

Pertamanya saya ingin mengucapkan ribuan terima kasih kepada Pengarah Bahagian Pengurusan Psikologi, Y.Bhg. Dr. Aris bin Kasan, Timbalan Pengarah Kanan dan Timbalan Pengarah dan semua jawatankuasa persidangan kerana memberi peluang kepada saya selaku Presiden protem kepada Persatuan Pegawai dan Penolong Pegawai Psikologi Perkhidmatan Awam (PSiPA) untuk memberikan sepatah dua kata dalam persidangan kali ini.

Tuan, puan

Sepintas lalu, sejak dua atau tiga tahun dulu telah kedengaran akan suara-suara yang mengusulkan agar diwujudkan satu persatuan bagi pegawai psikologi atau kaunselor pada ketika itu. Bertindak atas suara dan desakan agar pegawai psikologi mempunyai persatuan sendiri bagi membolehkan mereka menyampaikan atau mengemukakan pandangan secara kolektif, maka pada tahun lalu beberapa pegawai dari bahagian perkhidmatan psikologi dan kementerian telah bersepakat untuk mewujudkan satu jawatankuasa protem bagi membolehkan persatuan ini direalitikan kewujudannya.

Bagi tujuan tersebut, jawatankuasa telah menyediakan draf undang-undang tubuh persatuan dan menentukan beberapa perkara seperti yuran keahlian, keahlian persatuan dan ahli kehormat persatuan. Undang-undang tubuh persatuan itu kemudiannya di kemukakan kepada Pendaftar Pertubuhan di bawah Kementerian Dalam Negeri.

Bertolak daripada situ, beberapa penambahbaikan telah dipinta untuk diperhalusi oleh Pendaftar, dan tindakan susulan juga telah dibuat. Walau bagaimanapun, sehingga kini persatuan ini masih lagi belum disahkan pendaftarannya. Namun begitu, untuk membolehkan kita menjalankan aktiviti dan berpersatuan, jawatankuasa ini telah memohon kebenaran untuk menjalankan aktiviti sementara.

Tuan/puan..

Perlu rasanya saya tegaskan disini, persatuan kita ini wujud atas dasar menjaga kebajikan ahli di samping memberikan input-input terbaik kepada pihak pengurusan bagi mengembangkan daya tindak serta kualiti perkhidmatan yang kita sumbangkan. Bermakna, kewujudan ini bukanlah sebagai badan pendesak atau memperjuangkan kepentingan peribadi atau isu-isu yang bertentangan dengan dasar-dasar serta polisi kerajaan.
Kewujudan kita juga adalah bertujuan untuk mengeratkan perhubungan dan muhibbah sesama kita. Ukhwah yang erat akan menyatukan kita seterusnya membolehkan suara kita didengari ramai. Untuk itu amatlah perlu bagi kita untuk bertindak dan bertingkah laku secara professional agar persepsi orang luar terhadap kita sebagai pegawai psikologi atau ‘jurutera insan’ yang dilengkapi dengan ilmu kejuruteraan manusia tidak silap dan tersasar.

Kita perlu membuktikan bahawa ilmu psikologi yang kita miliki mampu untuk mengawal diri, mengenali diri dan seterusnya mengangkat diri kita menjadi pegawai yang berketerampilan dan berpersonaliti hebat. Janganlah kita menjadi seperti orang di luar sana, yang mengaku memiliki ilmu psikologi hebat tetapi tidak mengamali ilmu psikologi yang mereka ada dalam berurusan dengan manusia dan individu lain.

Ingin saya tegaskan, kehebatan ilmu psikologi yang kita ada hanya akan dapat dibuktikan sekiranya tindak tanduk kita menepati kehendak dan keperluan keadaan. Kita akan menjadi individu yang rasional, tidak bertindak berdasarkan emosi, mematuhi peraturan dan polisi, menghormati satu sama lain serta tidak mudah jemu untuk belajar dan mempelajari ilmu baru.

Tuan/puan

Adalah menjadi harapan saya, kita semua, pegawai psikologi dan penolong pegawai psikologi menjadi insan yang mana sekiranya, dicampakkan ke laut menjadi pulau, dihumban ke sungai menjadi tebing, ditinggalkan dibelantara menjadi gunung.

Itulah dasar yang ingin saya kongsi bersama saudara-saudara semua. Biar di mana sekalipun kita ditempatkan baik di hulu Tampin mahupun di Rompin, kita jadikan tempat tersebut tempat terhebat dalam sejarah kewujudannya. Kerana apa? Kerana kita adalah engineer atau jurutera pengubah.. Ilmu psikologi yang sama-sama kita miliki mencukupkan kita untuk mempengaruhi dan mengawal keadaan.. Kita mampu untuk menukarkan suasana, kita mampu menyemarakkan rasa suka dan gembira.. Kita mampu untuk mengadaptasi dan menyesuaikan diri .. kerana itulah kekuatan kita!!

Tuan/puan,

Dengan itu saya sangat memohon agar hentikan segala kekhilafan sesama kita, rasa ego atas ilmu yang sedikit, bertelagah tentang psikologi dan kaunseling dan sebagainya. Itu hanyalah soal ranting, pokoknya adalah betapa perlunya untuk kita bersatu!! Kerana dalam diri kita yang ada disini pada hari ini ada keunikan dan kehebatan yang sekiranya dapat kita gabungjalinkan, ia akan menjadi satu momentum hebat kepada diri dan perkhidmatan kita ini. Tapi kiranya hanya ego yang mengusai maka tewaslah kita dalam peperangan dengan diri kita sendiri. Bak kata sarjana, ‘sewaktu seseorang itu bodoh, dia cuba untuk menguasai dunia, tetapi bila mana dia pandai, dia hanya ingin menguasai dirinya sendiri’

Tuan/puan..

Bagi merealisasikan dan menghidupkan nafas persatuan ini, saya ingin memohon agar dapat tuan/puan berikan kerjasama dan sokongan kepada kami jawatankuasa penaja yang terdiri daripada sahabat-sahabat kita .. untuk menanam jerucuk dan menyediakan tapak kukuh (foundation) agar persatuan ini dapat bergerak maju pada masa hadapan..

Berikanlah kami sedikit masa agar segalanya berjalan lancar, sehingga pada satu ketika segalanya telah berjaya, maka jawatan-jawatan yang diwujudkan dalam persatuan ini akan dipertandingkan. Terserah kepada tuan-puan untuk menentukan kemudiannya haluan seterusnya dalam menentukan pemimpin yang bakal mengemudikan persatuan ini.

Tuan/puan

Dengan itu, sekali sagi saya bermohon agar diberikan sokongan supaya dapat kita realisasikan impian kita ini. Saya juga menyeru agar kita semua mendaftar dan menjadi ahli aktif bagi membolehkan persatuan ini bergerak dan dapat berfungsi sebaiknya. Kepada Bahagian Pengurusan Psikologi, Pengarah, timbalan pengarah, ketua penolong pengarah, penolong pengarah dan semua kakitangan .. diucapkan ribuan terima kasih.

Sekali lagi, biarlah kita kiranya dicampakkan ke laut menjadi pulau, dihumban ke sungai menjadi tebing, ditinggalkan dibelantara menjadi gunung.

Sekian, wabillahhitaufik walhidayah wassalamualaikum w.b.t dan salam sejahtera

Sekian, terima kasih.

No comments:

Post a Comment

Sila kemukakan komen yang konstruktif dan relevan