Sunday, December 6, 2009

Berita Mutakhir - Kunjungan Hormat

Salam sejahtera..

PSiPA pada 4 Disember bersamaan hari Jumaat yang lalu telah merakamkan satu perkembangan sejarah baru. PSiPA pada tarikh itu telah diterima mengadap Y.Bhg. Dato' Dr. Mohd. Azhar bin Hj. Yahaya, Pengarah Bahagian Perkhidmatan, Jabatan Perkhidmatan Awam Malaysia. Perjumpaan ini merupakan satu daripada siri Kunjungan Hormat PSiPA kepada pihak pengurusan tertinggi.

Dalam kunjungan tersebut, PSiPA telah diwakili oleh empat ahli Majlis PSiPA iaitu Presiden, Naib Presiden 2, Bendahari Agung dan Exco Penyelidikan. Secara umumnya, Kunjungan Hormat ini telah mencapai objektif persatuan untuk mewujudkan hubungan baik persatuan dengan pihak pengurusan.

Selain itu, PSiPA juga telah mendapatkan penjelasan padat berhubung beberapa isu yang dibangkitkan. Dalam kunjungan tersebut juga, Y.Bhg. Dato' Pengarah telah memberikan penerangan dan pemakluman yang mana ini telah meningkatkan kefahaman PSiPA berkaitan perkhidmatan, perjawatan dan skim perkhidmatan psikologi.

Sesungguhnya, maklumat yang diterima amatlah berguna dan bermanfaat buat PSiPA bagi meneruskan perjuangan kemaslahatan rakan-rakan psychoff sekelian.

Dalam kunjungan itu, Y.Bhg. Dato' telah sudi untuk meluangkan masa lebih dua jam bagi membincangkan isu-isu yang dibangkitkan serta penerangan yang berkaitan prospek skim perkhidmatan psikologi.

Hasil perbincangan tersebut, PSiPA ingin menyeru semua psychoff agar meneruskan kerja kuat, meningkatkan komitmen dan memberikan perkhidmatan terbilang kepada seluruh kakitangan awam. Sesungguhnya perkhidmatan murni yang kita berikan bukan sahaja akan memberi manfaat kepada orang lain tetapi juga kepada diri kita sendiri.

Selain itu, PSiPA ingin turut mengambil peluang ini untuk menyeru, memohon, meminta dan merayu semua psychoff agar bersegera menduduki Penilaian Tahap Kecekapan (PTK) bagi tahap masing-masing terutamanya mereka yang dilantik sebelum 2007. Ini akan memudahkan proses untuk menguruskan landasan kerjaya kita. Diharapkan juga tiada di antara psychoff yang bertindak bertentangan sistem yang berkuat kuasa sekarang, ini kerana kita adalah penguatkuasa sistem. Percubaan untuk mengelak PTK misalnya adalah satu usaha untuk menentang sistem yang mana akhirnya memberi kesan negatif kepada diri kita jua. Sehubungan itu, amatlah diharap kepada mereka yang masih belum menduduki PTK agar segera melakukannya.

Dikesempatan kunjungan tersebut juga, PSiPA dimaklumkan bahawa Skim Perkhidmatan Psikologi telah menerima masuk tiga orang pegawai kanan bagi mengisi kekosongan jawatan di Bahagian Perkhidmatan Psikologi, JPA. Sehubungan itu, PSiPA ingin mengucapkan selamat datang kepada mereka. Semoga dengan kehadiran ini dan dengan pengalaman serta kepakaran yang dimiliki akan terus memperkuatkan lagi perkhidmatan kita. Semoga juga, kita dapat bersama berganding bahu memerah minda untuk terus mengangkat martabat dan kualiti perkhidmatan psychoff dalam perkhidmatan awam.

Di harapkan juga, walau apa juga yang berlaku, semua psychoff baru atau lama akan bersama bergandingan tangan, sederap melangkah, satu suara, bersama bersatu padu bagi memperkuatkan dan meningkatkan perkhidmatan kita. Pepatah, 'bersatu teguh, bercerai roboh' dan 'berat sama dipikul, ringan sama dijinjing' wajar untuk menjadi pegangan semua psychoff.

Sekian, wassalam

Abdul Jalil Hassan
Presiden PSiPA

No comments:

Post a Comment

Sila kemukakan komen yang konstruktif dan relevan